Sydney: Supermaxi Australia LawConnect meraih kemenangan berturut-turut dalam perlumbaan Sydney-Hobart mengetuai saingan yang digemparkan dengan kematian dua pelayar akibat cuaca buruk yang melanda.
LawConnect, juara bertahan dikemudi oleh Christian Beck, tiba pertama di Hobart selepas pesaing utama mereka, Comanche, terpaksa menarik diri kerana masalah dengan layar utama.
Krew LawConnect mengemudi kapal mereka ke garisan penamat di sepanjang Sungai Derwent di Tasmania pada waktu malam, selepas lebih sehari penuh drama sejak berlepas dari Sydney Harbour yang diterangi cahaya matahari pada Hari Boxing.
LawConnect melintasi garisan penamat dengan masa kemenangan satu hari, 13 jam, 35 minit dan 13 saat berdasarkan catatan rasmi perlumbaan.
Penyokong di dok menyambut ketibaan kapal itu namun tiada tanda-tanda perayaan biasa di atas kapal, seperti yang ditunjukkan dalam siaran langsung oleh penganjur perlumbaan.
Celestial, sebuah kapal sepanjang 70 kaki yang berusaha meraih Trofi Tattersall untuk perlumbaan handicap keseluruhan, berada di tempat kedua, tiba kira-kira dua setengah jam kemudian manakala Wild Thing tiba di tempat ketiga.
“Ia adalah keadaan yang mencabar, mungkin perlumbaan yang paling sukar yang pernah saya sertai dari 11 perlumbaan yang saya lakukan.
“Tetapi kami berjaya melalui semua itu. Kami tidak banyak merosakkan peralatan, dan semua orang selamat, kami hanya mengalami sedikit lebam dan calar,” kata ketua pelayar LawConnect, Tony Mutter.
Krew menghadapi angin kencang 35-45 knot yang meniup dari arah belakang keluar dari Sydney, gelombang besar dan arus yang mencabar.
“Kami jelas amat kecewa dengan berita yang kami dengar semasa perlumbaan mengenai kehilangan dua pesaing kami dan ucapan takziah ditujukan kepada keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata Mutter.
Cuaca adalah faktor penting dalam perlumbaan sejauh 628 batu nautika ini yang pertama kali diadakan pada tahun 1945.
© New Straits Times Press (M) Bhd




