LBS kongsi visi 'Membina Perniagaan Masa Hadapan' di Persidangan dan Pameran 'Now and Future 2025'

LBS kongsi visi 'Membina Perniagaan Masa Hadapan' di Persidangan dan Pameran 'Now and Future 2025'

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) menekankan komitmen membina perniagaan masa hadapan melalui pelbagai inisiatif yang menekankan keterangkuman, kelestarian dan inovasi.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San dalam kenyataan berkata, visi itu diketengahkan ketika beliau menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Building the Business of Tomorrow’ pada persidangan dan Pameran ‘Now and Future’ 2025, hari ini.

Beliau berkata, perniagaan masa hadapan memerlukan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan keterangkuman sosial, pertukaran budaya dan kelestarian.

Beliau turut mengetengahkan komitmen LBS terhadap prinsip ini melalui inisiatif perumahan mampu milik, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan berfokuskan komuniti selaras dengan keutamaan ASEAN yang meluas.

“Apabila kita membina perniagaan masa hadapan, fokus harus melangkaui keuntungan. Kita perlu mengangkat keterangkuman, kelestarian dan inovasi, di samping memperkukuh kerjasama serantau.

“Saya juga ingin menekankan transformasi ASEAN sebagai salah satu blok ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$4 trilion (kira-kira RM18 trilion) pada 2024.

“Ia bukan sahaja terletak pada dinamik ekonominya tetapi juga pada kepelbagaian, daya tahan dan perpaduannya,” katanya dalam ucaptama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Persidangan yang bertemakan ‘A Better Future’ dan dianjurkan bersempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA Malaysia 2025) kali ke-46 itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

Pada hari kedua persidangan, Perdana Menteri melawat reruai LBS yang menampilkan MGB Berhad dengan pembangunan dan projek terkininya sebagai cerminan peranan kumpulan itu dalam memacu kemajuan ekonomi serta sosial negara.

Dalam pada itu, Lim turut menekankan peranan Malaysia sebagai jambatan dalam ASEAN termasuk menggariskan kepentingan diplomasi, hubungan antara rakyat dan pemahaman budaya sebagai tonggak penting bagi pertumbuhan serta kestabilan jangka panjang.

Menurutnya, LBS menyelaraskan komitmen itu melalui Strategi 8×8 yang antaranya penerbitan SRI Sukuk Wakalah Sosial ASEAN bernilai RM200 juta bagi membiayai perumahan mampu milik.

Tambahnya, strategi berkenaan juga merangkumi pelaburan tenaga boleh diperbaharui termasuk ladang solar bernilai RM104 juta serta pembangunan perbandaran lestari di seluruh negara.

“Persidangan ini wadah penting untuk berkongsi pandangan daripada sektor pembangunan hartanah dan menonjolkan bagaimana industri hartanah berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta serantau.

“Pembangunan hartanah bukan sekadar membina rumah, ia adalah tentang mewujudkan komuniti lestari, merangsang industri, menjana pekerjaan dan membolehkan mobiliti sosial.

“Sumbangan ini tulang belakang kepada ekonomi yang berdaya tahan dan penting untuk kemajuan jangka panjang ASEAN,” ujarnya.

Persidangan dan pameran ‘Now and Future’ 2025 itu menghimpunkan ahli parlimen, penggubal dasar dan pemimpin perniagaan dari seluruh Asia Tenggara, bersama tetamu kehormat dari negara anggota ASEAN.

Persidangan ini mengukuhkan peranannya sebagai platform penting untuk dialog, kerjasama dan perkongsian dalam membentuk masa depan yang lebih baik serta mampan untuk rantau ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top