kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM17 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2026 (Q1FYE2026), disokong jualan belum dibil kukuh berjumlah RM1.1 bilion setakat 30 April lalu.
Kumpulan itu turut mencatat hasil sebanyak RM296.5 juta dalam tempoh berkenaan, dengan segmen pembangunan hartanah kekal menjadi penyumbang utama apabila menyumbang 85.3 peratus kepada keseluruhan hasil.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Seri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, walaupun operasi kekal mencabar susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah serta tekanan kos berterusan, kumpulan itu masih berjaya mengekalkan prestasi positif.
Menurutnya, prestasi Q1FYE2026 mencerminkan asas perniagaan yang kukuh apabila kumpulan terus mencatat keuntungan dan momentum jualan memberangsangkan menerusi projek utama.
“Walaupun prestasi suku ini dipengaruhi faktor masa apabila beberapa projek berada pada tahap siap atau hampir siap sepenuhnya, jualan belum dibil RM1.1 bilion memberi keterlihatan pendapatan positif bagi suku akan datang.
“Bersempena ulang tahun ke-65 LBS tahun ini dengan slogan ‘Bersama Membina Masa Depan’, kami kekal komited memperkukuh kecekapan operasi, melaksanakan pelancaran projek strategik mengikut permintaan pasaran serta mengurus kos secara berhemah,” katanya.
Katanya, projek utama seperti Centrum Iris di Cameron Highlands, Alam Perdana Industrial Park dan KITA Sejati terus menyokong momentum jualan kumpulan itu.
Pada masa sama, LBS melancarkan projek baharu Idaman Cahaya 3 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM117 juta yang merangkumi pembangunan kediaman, perindustrian dan komersial.
Beliau berkata, keluasan bank tanah kumpulan kini seluas 3,918 ekar (1585.55 hektar) selain pembangunan akan datang termasuk projek perbandaran bersepadu di Kwasa Damansara dijangka terus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang syarikat.
“Kumpulan kini berada pada peringkat persediaan lanjut untuk melaksanakan pembangunan perbandaran bersepadu di Kwasa Damansara, sebuah lokasi strategik yang dijangka memperluaskan portfolio kumpulan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, peningkatan nisbah pembayaran dividen minimum kepada 40 peratus bermula tahun kewangan 2025 turut mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kemampanan pendapatan kumpulan serta komitmen untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan pulangan mampan kepada pemegang saham.
Dalam pada itu, segmen pembinaan dan perdagangan LBS merekodkan peningkatan pendapatan lebih empat kali ganda kepada RM37.6 juta, disumbang subsidiari asing serta pengoptimuman kos yang lebih baik, sekali gus mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.1 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




