lokman.khairi@hmetro.com.my
Sepang: Pendaki, Khafiz Bachok atau Kicok selamat kembali ke tanah air selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest, Nepal, minggu lalu sekali gus menamatkan penantian penuh debar keluarganya selama hampir dua bulan.
Pesawat Himalaya Airlines yang membawa Khafiz, 47, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, jam 5.36 petang tadi.
Isterinya, Syuaibatul Islamiah Roeswardhi, 47, berkata, dia bersama keluarga bersyukur apabila suaminya berjaya menamatkan ekspedisi berkenaan dan kembali ke tanah air dalam keadaan selamat selepas hampir dua bulan berada di Nepal.
“Sekarang ini rasa syukur dan tidak sabar nak jumpa dia sebab sudah lama hampir dua bulan ekspedisi ini berlangsung.
“Sepanjang dia di sana memang kami sentiasa berdoa setiap hari kerana pendakian gunung seperti Everest ini penuh cabaran dan risiko,” katanya ketika ditemui di KLIA, di sini, hari ini.
Terdahulu, Khafiz dilaporkan berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,849 meter dari aras laut menerusi jalur pendakian di Nepal pada 18 Mei lalu, jam 5 pagi waktu tempatan.
Difahamkan dia menjadi rakyat Malaysia ke-30 berjaya menakluki gunung tertinggi di dunia itu.
Dia berlepas ke Nepal pada 4 April lalu sebagai persediaan awal sebelum memulakan ekspedisi ke Everest.
Dalam pada itu, Syuaibatul Islamiah berkata, debaran keluarga tidak berakhir sebaik Khafiz berjaya menawan puncak Everest kerana perjalanan turun dari gunung itu juga sangat berisiko.
“Waktu dia sampai puncak pun kami masih berdebar dan ketika turun pun perasaan itu tetap sama sebab dalam ekspedisi gunung, sampai ke puncak mungkin matlamat utama tetapi turun semula dengan selamat itu yang lebih penting.
“Kami hanya benar-benar lega selepas dimaklumkan dia sudah selamat tiba di ‘base camp’ (kem induk),” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, seluruh ahli keluarga termasuk adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan memberi sokongan penuh terhadap minat suaminya dalam aktiviti pendakian.
Katanya, dia sendiri turut menemani Khafiz sepanjang 20 hari pertama ekspedisi itu sehingga ke base camp yang terletak pada ketinggian sekitar 5,364 meter, sebelum pulang ke tanah air.
“Alhamdulillah keluarga kami memang sangat menyokong minat dia dan semua memahami minatnya dalam aktiviti pendakian ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




