LCS: Bekas Panglima TLDM tak mengaku salah pecah amanah dana RM21.08 juta syarikat perkapalan

LCS: Bekas Panglima TLDM tak mengaku salah pecah amanah dana RM21.08 juta syarikat perkapalan

KUALA LUMPUR:  Seorang bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan pecah amanah dana sebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Panglima (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 78, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM21.08 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Bagi semua pertuduhan, beliau yang juga bekas pengarah urusan BNS didakwa meluluskan pembayaran tersebut kepada tiga buah syarikat antarabangsa, kira-kira 12 tahun lalu.

Bekas Panglima TLDM kesembilan itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di BNS beralamat di Tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan di sini pada tarikh-tarikh berbeza.

Tuduhan pertama, beliau didakwa pecah amanah dana BNS dengan meluluskan pembayaran sebanyak RM13,541,140 ke dalam akaun Syarikat Setaria Holding Limited melalui Standard Chartered Bank di Singapura di antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Tuduhan kedua, beliau didakwa pecah amanah dana BNS dengan meluluskan pembayaran RM1,360,716 ke dalam akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd. melalui The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited di Singapura di antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Tuduhan ketiga, Ahmad Ramli didakwa pecah amanah dana BNS dengan meluluskan pembayaran sebanyak RM6,182,295 ke dalam akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd. melalui Standard Chartered Bank di Singapura di antara 28 Oktober 2010 dan 22 November 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussain membenarkan Ahmad Ramli dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 24 November ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM500,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan cagaran berbayar sebanyak RM200,000 serta syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Ini bermakna, Ahmad Ramli hanya perlu membayar jaminan bercagar RM200,000 manakala jika beliau melanggar syarat jaminan, tertuduh perlu menjelaskan baki RM300,000 lagi.

Bekas Panglima TLDM itu keluar daripada kompleks mahkamah kira-kira pukul 11.25 pagi diiringi ahli keluarga selepas jaminan dijelaskan oleh anaknya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon tarikh sebutan yang panjang kerana kes itu melibatkan dokumen yang banyak.

Beliau turut menarik perhatian mahkamah bahawa pihak pembelaan mungkin mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam pada itu, peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden mengesahkan pihaknya akan mengemukakan representasi untuk menyemak semula pertuduhan.

Skandal kepincangan projek perolehan LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan tiada kapal diterima setakat ini walhal TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran RM6.083 bilion.

Bayaran secara rundingan terus itu diberikan kepada BNS agar lima kapal LCS disiapkan dalam tempoh 10 tahun berdasarkan kontrak asal yang ditandatangani.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

SPRM kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak terbabit menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan meskipun projek telah bermula pada 2013.

Projek ini adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion yang mana lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah pada bulan ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan beberapa tahun lalu dengan mengambil keterangan lebih 35 saksi berhubung projek mega tersebut. – UTUSAN