Sambutan Rewang Eh Raya 2025 yang diadakan di pusat beli-belah Summit USJ pada Sabtu lalu berjaya mencuri tumpuan apabila menarik lebih 10,000 pengunjung, sekaligus mencerminkan bahawa warisan seni budaya Melayu dan Bugis terus mekar dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mengangkat tema Rumah Terbuka, acara anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia ini bukan sahaja menghidupkan kembali suasana rewang yang sinonim dengan Hari Raya, tetapi turut memperkenalkan budaya Bugis Negeri Selangor menerusi aktiviti yang interaktif dan sesuai untuk seisi keluarga.

Seawal jam 9 pagi, lokasi acara sudah dipenuhi gelak tawa apabila kanak-kanak berusia antara 4 hingga 7 tahun menyertai pertandingan mewarna bertemakan Eh, Warna-Warni Raya!
Bengkel Santai Tarian Tradisional Zapin dan Ronggeng Selangor turut mendapat sambutan hebat dengan penyertaan lebih 300 orang dari pelbagai peringkat usia, yang berpeluang mempelajari seni tari warisan secara lebih santai dan menyeronokkan.
Majlis pelancaran dirasmikan dengan penuh adat menerusi simbolik pemotongan pulut kuning, diserikan lagi dengan letusan konfeti yang menambah kemeriahan suasana.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah penaung program, Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj bersama tetamu-tetamu kehormat lain, menunjukkan komitmen terhadap usaha melestarikan seni budaya tradisional.
Dalam ucapannya, Hishammuddin Zaizi menyentuh tentang pentingnya usaha memperkenalkan budaya tradisi secara berterusan, bukan hanya tertumpu kepada musim perayaan.

Menjelang majlis perasmian, para pengunjung turut berpeluang menonton klip video memperkenalkan hidangan warisan Bugis yang turut memperkayakan pengalaman kebudayaan sepanjang acara berlangsung.
Kumpulan Noraniza Idris Dance Academy (NIDA) tampil memukau dengan persembahan seperti Tarian Serampang Bugis, Tarian Jawa Piye Kepriye dan Tarian Ronggeng Selangor, hasil daripada bengkel yang berlangsung pada sesi pagi.
Menurut ratu Irama Malaysia dan Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris, Rewang Eh Raya 2025 menjadi medium penting dalam memperkukuh semangat komuniti melalui platform seni dan budaya, bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.
“Apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu usaha untuk membentuk sahsiah dan memperkasa identiti budaya dalam diri anak-anak kita.
“Syukur Alhamdulillah, dengan sokongan padu daripada pihak penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah, Che Ani Premium, Promedia Broadcast serta Summit USJ, kita berjaya merealisasikan sebuah acara budaya berskala besar yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penglibatan aktif kanak-kanak dan golongan muda sebagai antara pencapaian terbesar program ini.
“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja mengenali budaya mereka, malah berbangga dan berani mempertahankannya di masa hadapan.
“Saya percaya seni budaya tradisional bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus hidup dan dibudayakan sepanjang masa.
“Insya-Allah, kita akan terus komited mengangkat warisan bangsa ini ke persada yang lebih tinggi,” katanya penuh semangat.
Lebih 6,000 peserta dilaporkan telah mendaftar awal secara dalam talian untuk menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan, membuktikan bahawa minat terhadap seni tradisional masih kekal kukuh.
Antara acara yang paling mencuri tumpuan adalah Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya yang menyaksikan penyertaan dari lima negeri bersaing untuk merebut hadiah utama bernilai sehingga RM3,000 bagi persembahan koreografi terbaik.




