Lebih 150 kru angkat 'keindahan' hikayat Melayu ke pentas teater

am@hmetro.com.my

Menyatukan lebih 150 tenaga kerja, menghidupkan 30 lagu dan membawa legenda Melayu ke pentas dalam acuan baharu, Datuk M Nasir mengakui pementasan Mansur & Liu ibarat satu peperangan seni yang menuntut kesungguhan seluruh pasukan.

Namun, di sebalik cabaran produksi berskala besar itu, penyanyi, komposer dan pengarah berusia 68 tahun berkenaan melihat Mansur & Liu sebagai karya cukup dekat dengan jiwanya, terutama kerana tercetus daripada minat mendalam terhadap hikayat dan legenda Melayu.

M Nasir berkata, idea menghasilkan muzikal itu sudah tercetus sejak 2016 sebelum terhenti akibat pandemik Covid-19, namun kembali diusahakan beberapa tahun kemudian.

“Teater ini mencabar. Setiap kali selepas latihan, saya cakap kepada semua yang terbabit, ini adalah satu peperangan.

“Pengalaman saya buat album dan konsert, tetapi ini lebih menyeronokkan kerana kita bekerja bersama lebih 150 orang, termasuk tenaga kerja di belakang pentas,” katanya pada sidang media dan sesi latihan muzikal berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, minat terhadap hikayat Melayu membawanya kepada kisah Puteri Liu yang mempunyai persamaan dengan legenda Hang Tuah dan Hang Li Po.

Katanya, nama Puteri Liu dipilih kerana kisah Hang Li Po sudah terlalu sinonim dalam penceritaan mengenai legenda Melayu, sedangkan watak yang diketengahkan dalam muzikal itu mempunyai latar dan pendekatan tersendiri.

“Saya minat hikayat Melayu dan menemui kisah Puteri Liu, Hang Tuah serta beberapa karakter legenda Melayu. Persamaan cerita Puteri Liu dengan Hang Li Po menarik perhatian saya.

“Saya melihatnya sebagai satu alternatif kepada cerita legenda Raja Melaka berkahwin dengan puteri Cina. Temanya menarik untuk diketengahkan,” katanya.Idea pementasan itu pada asalnya dikembangkan bersama aktivis teater, Allahyarham Zakaria Ariffin pada 2019.

Namun, selepas pemergian penulis berkenaan, naskhah itu dibangunkan semula tahun lalu dengan pembabitan empat penulis yang pernah bekerja bersama pasukan produksi.

M Nasir berkata, Mansur & Liu tidak dibentuk sebagai muzikal tradisional, sebaliknya menggabungkan elemen muzik tradisi, moden, rock dan kontemporari.

Sebanyak 30 lagu disediakan untuk pementasan itu dengan pendekatan muzik yang bersifat fusion bagi mengiringi jalan cerita.

“Ini bukan cerita tradisional. Ia cerita kontemporari dan fusion. Ada elemen tradisi, moden dan muzik yang lebih ‘rock’.

“Bahasa dialog juga tidak terlalu terikat dengan latar tahun yang tepat. Ada bahasa Mandarin dan bahasa istana, tetapi bukan dalam bentuk bangsawan,” katanya.

M Nasir turut menyifatkan pemilihan Aliff Aziz sebagai watak utama ibarat rezeki selepas pasukan produksi berusaha mendapatkan pelakon yang sesuai menerusi proses uji bakat.

Katanya, hampir semua nama dicadangkan turut dihubungi atau dipanggil menghadiri uji bakat sebelum Aliff dipilih pada saat akhir.

“Aliff bagi saya adalah anugerah Tuhan kepada saya dan produksi ini. Kami sudah cuba mendapatkan orang lain dan dia datang pada saat terakhir,” katanya.

Pengarah itu juga mengakui pada awalnya berasa bimbang kerana Alif dan pelakon utama wanita, Melinda Dadew tidak mempunyai pengalaman dalam teater muzikal.

Namun, kebimbangan itu terpadam apabila kedua-duanya menunjukkan kesungguhan dan kemampuan belajar dengan pantas sepanjang latihan.

Dalam pada itu, M Nasir melihat pementasan Mansur & Liu sebagai karya yang cukup peribadi, malah berpotensi menjadi asas kepada projek lebih besar pada masa depan.

“Teater ini sangat personal buat saya. Ia akan menjadi satu filem yang besar dan kerjasama dengan China,” katanya.

Sementara itu, penerbit, Datin Marlia Musa pula berkata, cabaran produksi bukan hanya berkaitan proses kreatif, malah turut membabitkan komitmen pelakon yang perlu meluangkan masa berbulan-bulan dengan pulangan kewangan yang tidak setimpal.

Katanya, kecintaan terhadap seni teater menjadi antara faktor utama yang mendorong pelakon profesional untuk terbabit dalam produksi ini.

“Gaji kami tidak tinggi dan pulangan pelaburan (ROI) juga tidak besar. Kadang-kadang lebih banyak rugi daripada untung.

“Kalau mereka suka teater, mereka akan datang dan beri komitmen. Itulah realitinya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top