Semakin berusia stamina perlu kukuh demi persembahan terbaik

am@hmetro.com.my

SELEPAS mengimbau nostalgia menerusi konsert Exists Memento Mori pada 1 Ogos lalu, kumpulan itu bakal kembali menerusi Exists Memento Mori 2.0 di Unifi Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 November depan.

Pengasas Icon Entertainment selaku penganjur, Iman Tang berkata, Exists Memento Mori 2.0 diilhamkan bukan sekadar sambutan hangat peminat, sebaliknya menyifatkan perjalanan seni Exists selama 35 tahun terlalu panjang untuk dirangkumkan dalam satu malam.

Menurutnya, Memento Mori 2.0 bukan sekadar mengulangi persembahan terdahulu, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada perjalanan muzik sebuah kumpulan yang sudah menghasilkan ratusan karya, merentasi pelbagai era dan generasi pendengar.

“Tempoh 35 tahun tidak cukup diceritakan hanya dalam satu malam. Baik daripada rendisi lagu dalam album-album Exists atau mendengar komen yang diluahkan dalam pelbagai platform media sosial oleh peminat.

“Memento Mori 2.0 juga bukan hanya untuk mencari keuntungan, tetapi turut memberi peluang buat peminat Exists yang tidak dapat hadir ke edisi pertama pada 1 Ogos lalu,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir, anggota Exists iaitu Along, Ezad Lazim, Musa, Ujang, Ajai, Mamat dan Shah.

Iman berkata, dia optimis Memento Mori 2.0 mampu menarik peminat Exists untuk kembali membeli tiket sekali gus memenuhi segenap ruang Unifi Arena pada edisi kali ini.

“Kami percaya orang yang membeli tiket bukan semata-mata kerana Exists sudah 35 tahun, tetapi kerana mereka mahu mendengar lagu yang mempunyai cerita dalam hidup mereka secara langsung.

“Memento Mori 2.0 memberi pengalaman yang berbeza daripada edisi pertama, dengan lebih banyak karya hits dipersembahkan. “Itu yang membuatkan kami yakin peminat mahu kembali menonton konsert Exists dan mereka yang terlepas tidak mahu mengulangi perkara yang sama,” katanya.

Selaku vokalis, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 46, mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki daripada konsert yang pertama.

“Banyak kelemahan yang saya nampak dan perlu diperbaiki pada konsert pertama dan mungkin dari segi teknikalnya. Mungkin orang lain tidak perasan, tapi saya nampak kelemahan itu.

“Tapi, Alhamdulillah dengan semangat semua anggota Exists yang lain, benda itu tak nampak sangat,” katanya.

Ditanya persiapan untuk konsert Memento 2.0 pula, kata Ezad, dia harus membuat persiapan dari aspek mental dan fizikal untuk konsert berkenaan.

“Saya juga tengok Mamat kini rajin bersenam dan buat ‘live. Ia agak membakar semangat saya juga.

“Kita perlu stamina yang baik sebab umur pun sudah meningkat. Macam yang saya cakap persediaan kita dari aspek kesihatan dan stamina. Sebab konsert pertama durasi hampir tiga jam dan kali ni pun sama juga,” katanya.

Sementara itu, bukan hanya konsep dengan rangkaian lagu hits yang bakal mengisi Memento Mori 2.0, sebaliknya tema ditetapkan penganjur akan menjadikan malam konsert lebih bermakna.

Peminat yang hadir diminta berpenampilan warna warni, neon dan color-block ala akhir 80-an & 90-an demi menggamit memori zaman kegemilangan Exists.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top