Ringgit mengukuh, capai RM4.03 berbanding dolar AS

PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengekalkan aliran pengukuhan dengan didagangkan sekitar RM4.03 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, disokong prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik serta pendirian dasar monetari yang stabil.

Pada pukul 5 petang semalam, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0360/4.0400 berbanding dolar AS daripada 4.0420/4.0450 ketika ditutup pada Khamis.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka berada antara RM3.98 hingga RM4.08 pada September, manakala mengukuh ke paras RM3.90 hingga RM4.00 menjelang akhir tahun.

Katanya, prestasi ringgit masih kukuh dengan prospek dalam tempoh beberapa bulan akan datang kekal positif, walaupun pengukuhan mata wang tempatan dijangka lebih perlahan dan tidak sekata.

“Setakat kadar rujukan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 19 Ogos 2026, ringgit berada pada RM4.0651 berbanding dolar AS, mengukuh daripada RM4.0961 pada 4 Ogos lalu.

“Prestasi itu turut disokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2026 yang berkembang 6.0 peratus, mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 5.8 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih berdaya tahan, disokong sektor teknologi, eksport dan harga komoditi, menjadi antara faktor utama yang menyokong ringgit.

“Selain itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada 2.75 peratus turut memberikan sokongan kepada mata wang tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia

Beliau berkata, paras RM4.00 merupakan tahap psikologi penting dan sekiranya berjaya ditembusi, ringgit berpotensi mengukuh lagi kepada RM3.95 dan seterusnya RM3.90.

“Namun, jika gagal menembusi paras RM4.00, ringgit dijangka bergerak mendatar dalam julat RM4.00 hingga RM4.15 untuk tempoh tertentu,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya ringgit benar-benar mengukuh kepada paras RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar AS, kesannya terhadap ekonomi Malaysia akan jauh lebih besar daripada sekadar pengukuhan mata wang.

“Pengukuhan itu boleh memberi kesan kepada inflasi, kos import, hutang luar negara, keuntungan syarikat, kuasa beli rakyat serta kedudukan Malaysia dalam usaha mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit memasuki penghujung Ogos dengan momentum lebih positif, disokong prestasi ekonomi dan perdagangan Malaysia yang kukuh serta kelemahan relatif dolar AS.

“Bagi minggu depan, ringgit dijangka kekal dalam trend mengukuh, namun pergerakannya berkemungkinan lebih berhati-hati.

“Ini berikutan pasaran masih menunggu petunjuk baharu mengenai hala tuju kadar faedah AS,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top