Kuala Lumpur: ALL IT Hypermarket Sdn Bhd meneruskan usaha memperkasa kelestarian alam sekitar menerusi edisi kedua kempen Tech The Emission Down (TTED) 2026 yang berlangsung sehingga 31 Disember ini, dengan kerjasama Atome dan Blueshark Malaysia.
Kempen yang mengetengahkan kelestarian teknologi dan mobiliti hijau itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia memenangi dua unit Blueshark Solo 1C EV Bike sebagai hadiah utama selain tiga unit Apple MacBook Neo (512GB) menerusi cabutan bertuah.
Edisi pertama TTED pada 2025 mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 120,000 orang menyertai kempen berkenaan di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengurus dan melupuskan e-sisa secara bertanggungjawab.
Sebagai syarikat dalam industri teknologi, ALL IT bukan sahaja melihat peranannya sebagai penyedia produk teknologi kepada pengguna, malah turut berusaha mengurangkan kesan pelupusan barangan elektronik terhadap alam sekitar.
Ketua Pemasaran ALL IT Hypermarket Sdn Bhd, Cagen Tan berkata, masyarakat sememangnya prihatin terhadap alam sekitar, namun memerlukan platform yang memudahkan mereka mengambil tindakan secara praktikal.
“Rakyat Malaysia sememangnya prihatin terhadap alam sekitar. Apa yang diperlukan ialah satu platform yang memudahkan mereka mengambil tindakan dan pada masa sama memberikan manfaat kepada mereka.
“Sebagai syarikat yang terlibat dalam industri teknologi, kami turut mempunyai tanggungjawab memastikan teknologi tidak menjadi beban kepada alam sekitar.
“Kerjasama bersama Atome dan Blueshark menerusi TTED bukan sekadar sebuah kempen, sebaliknya sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami ke arah Malaysia yang lebih hijau,” katanya.
Bagi edisi tahun ini, TTED 2026 tampil menerusi kerjasama Atome x TTED by ALL IT dengan Atome sebagai Preferred BNPL Partner, sekali gus menawarkan pelan ansuran faedah sifar peratus bagi memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna mendapatkan produk teknologi hijau.
Ketua BNPL Atome Malaysia, Danny Lim berkata, fleksibiliti kewangan dan kelestarian boleh bergerak seiring dalam membantu pengguna membuat pilihan lebih bertanggungjawab.
“Di Atome, kami percaya fleksibiliti kewangan dan kelestarian boleh bergerak seiring. Dengan menjadikan pilihan hijau lebih mampu milik dan mudah diakses, lebih ramai rakyat Malaysia boleh membuat pilihan yang lebih bijak serta bertanggungjawab.
“Kerjasama kami dengan ALL IT menerusi TTED 2026 adalah satu langkah bermakna dalam usaha berkenaan dengan menghubungkan jangkauan platform kami kepada sebuah kempen yang memberi impak positif terhadap alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Blueshark Malaysia menyertai TTED 2026 sebagai Rakan Rasmi EV Bike dengan menawarkan Blueshark Solo 1C EV Bike sebagai hadiah utama, dengan dua pemenang akan diumumkan pada 8 Januari 2027.
Ketua Strategi Pemasaran dan Komunikasi Blueshark Malaysia, Eric Lim berkata, kerjasama itu selari dengan aspirasi syarikat untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih gaya hidup yang pintar dan lestari.
“Kerjasama ini amat bertepatan dengan aspirasi Blueshark. Bersama ALL IT dan Atome, kami mahu menggabungkan teknologi, peruncitan dan mobiliti pintar bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membuat pilihan harian yang mampu memberikan impak positif dalam jangka masa panjang.
“Sama ada dengan mengitar semula peranti lama, memilih kaedah pengangkutan yang lebih bersih dan pintar, atau menjadi lebih sedar tentang jejak kita, setiap tindakan kecil penting,” katanya.
Bagi memudahkan penyertaan, pusat pengumpulan e-sisa disediakan di semua cawangan ALL IT Hypermarket di seluruh negara, dengan barangan elektronik yang dikumpulkan akan disalurkan kepada rakan kitar semula yang diberi kuasa untuk diproses dan dilupuskan secara bertanggungjawab.
Sepanjang kempen sehingga 31 Disember ini, peserta yang menghantar e-sisa ke mana-mana cawangan ALL IT akan menerima satu penyertaan percuma tanpa perlu membuat pembelian, manakala pembelian minimum RM200 dalam satu resit melayakkan mereka menerima satu penyertaan cop.
Pengguna yang membuat pembayaran menerusi Atome pula menerima satu penyertaan bonus tambahan, namun peserta perlu mendaftar sebagai ALL IT Rewards Lite Member secara percuma menerusi aplikasi web ALL IT Rewards bagi mengumpul dan menjejaki cop secara digital.
Dua pemenang hadiah utama Blueshark Solo 1C EV Bike akan diumumkan pada 8 Januari 2027, manakala tiga unit Apple MacBook Neo (512GB) akan diberikan sebagai hadiah setiap dua bulan, dengan seorang pemenang masing-masing pada Ogos, Oktober dan Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
