Kuala Lumpur: Klinik Ezna menerima Parents’ Choice Award 2026 bagi kategori Klinik Terbaik untuk Wanita dan Kanak-Kanak, tiga tahun selepas mula beroperasi di Batu Pahat, Johor.
Pengiktirafan itu diberikan Parenthood Magazine Malaysia berdasarkan gabungan penilaian editorial dan undian awam dalam kalangan komuniti ibu bapa di seluruh negara.
Klinik berkenaan mula beroperasi pada 2023 dan menurut pihaknya, sudah menerima lebih 100,000 pesakit serta mengumpulkan lebih 1,000 ulasan lima bintang. Ia juga menjadi panel kesihatan kepada lebih 20 organisasi di Johor.
Menurut Parenthood Magazine Malaysia, penilaian terhadap Klinik Ezna turut mengambil kira pendekatan klinik berkenaan dalam membantu pesakit memahami keadaan kesihatan dan rawatan yang diberikan, selain kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Ezna, Dr Irfan Rahman berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kepercayaan keluarga yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan sejak ia mula beroperasi.
“Misi kami sentiasa sama, iaitu memastikan pesakit berasa selamat, memahami keadaan kesihatan mereka dan mendapat penjagaan sewajarnya.
“Kami bersyukur kepercayaan diberikan keluarga kini mendapat pengiktirafan di peringkat nasional,” katanya.
Antara perkhidmatan yang disediakan klinik berkenaan termasuk penjagaan kesihatan wanita, kehamilan dan kanak-kanak, selain pemeriksaan kesihatan, pengurusan penyakit kronik, diagnostik, prosedur kecil dan rawatan luka.
© New Straits Times Press (M) Bhd
