120 Jentera, 630km terokai Pahang

Kuala Lumpur: Sebanyak 120 jentera bakal menyertai Malayan Expedition (MX) 2026 yang menempuh laluan sejauh 630 kilometer (km) merangkumi lebuh raya hingga trek pembalakan licin dan tidak berturap jauh di pedalaman Pahang.

Ekspedisi yang berlangsung selama enam hari lima malam itu sudah penuh ditempah, dengan penganjur menetapkan standard teknikal, keselamatan dan pengurusan laluan bagi memastikan perjalanan rentas desa berkenaan dilaksanakan secara selamat serta bertanggungjawab.

Penganjur, By The Billions (BTB), turut mengangkat tema “From Exploration to Impact” menerusi pendekatan yang menggabungkan penerokaan, keupayaan kenderaan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar sepanjang konvoi.

Sejajar dengan pendekatan itu, BTB memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Enggang Management Services (EMS) dan Al-Sultan Abdullah Royal Tiger Reserve (ASARTR), yang mengintegrasikan usaha pemuliharaan alam sekitar ke dalam logistik konvoi menerusi Habitat Enrichment Project.

Bagi memastikan tahap keselamatan operasi serta meminimumkan gangguan terhadap laluan sepanjang 630 km itu, semua kenderaan yang mengambil bahagian dan operasi lapangan akan menjalani pemeriksaan teknikal mandatori.

Pelaksanaan MX 2026 turut mendapat sokongan barisan penaja dan rakan teknikal, diterajui penaja utama GWM serta rakan pelincir rasmi Grantt Lubricants, selain BFGoodrich, Alpaka Gear, Victron Energy, Pedders Malaysia, Red Springs Overland, Tough Dog Suspension Malaysia dan ANBOT.

Kerjasama teknikal itu membabitkan kelengkapan yang diperlukan bagi menghadapi muatan berat serta situasi pemulihan teknikal di sepanjang laluan pembalakan tidak berturap di Pahang, manakala rangkaian kenderaan penyapu laluan, perubatan dan pemulihan bergerak disediakan bagi mengekalkan keselamatan konvoi.

Sebelum pelepasan rasmi, semua kenderaan peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan teknikal ketika pameran awam Adventure Festival, yang sebelum ini dikenali sebagai 4Wheels Fest, pada 12 September di PARC, Subang Jaya.

Pengasas By The Billions, Nedree Mohd Nazlan, berkata aspek keupayaan kenderaan perlu bergerak seiring disiplin pemandu dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam aktiviti off-road.

“Aktiviti off-road adalah gabungan persediaan jentera, disiplin pemandu dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Dalam aspek teknikal, pemeriksaan mandatori meliputi titik pemulihan casis, ‘winches’, sistem brek dan elektrik kalis air bagi memastikan kenderaan bersedia menghadapi laluan terpencil di koridor hutan.

Konfigurasi tayar all-terrain dan mud-terrain turut disarankan, disokong rakan industri termasuk BFGoodrich, Pedders Malaysia dan Tough Dog Suspension Malaysia bagi menangani keperluan muatan berat di trek pembalakan yang mencabar.

Pada masa sama, menerusi pengaktifan MoU berkenaan, pasukan konvoi akan mendapatkan, membawa dan menanam 500 anak pokok ara (Ficus sp.) daripada ASARTR Central Nursery di Kampung Mat Daling, Pahang, bagi membantu memperkukuh sumber makanan mangsa bagi harimau Malaya yang terancam.

BTB juga akan melaksanakan program pemantauan dan penyelenggaraan selama 12 bulan dengan mengesan pertumbuhan anak pokok serta menggantikan anak pokok yang tidak hidup sebelum rekod lengkap diserahkan kepada ASARTR.

Bagi mengelakkan kemerosotan alam sekitar dan pemecahan habitat, konvoi akan menggunakan jalan pembalakan sedia ada yang dibenarkan Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut, manakala kenderaan ‘sweeper’ laluan dilengkapi komunikasi satelit, peralatan perubatan dan kelengkapan pemulihan berat bagi mengekalkan integriti konvoi dari Selangor hingga Cherating.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top