mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lebih 20 selebriti terkenal tanah air akan menyertai Karnival Warisan @ Saloma sepanjang Ramadan ini bermula 3 Mac hingga 28 Mac ini di Lanai @ MATIC, Jalan Ampang, di sini.
Antara selebriti yang akan turut serta ialah Aidil, Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Fizz Fairuz, Syikin Maembong, Cat Farish, Jue Aziz, Cheb Ali, Azura Aziz, Nad Zainal, Aprena Manrose dan ramai lagi.
Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Ismariza Che Umar berkata, pihaknya membuka peluang kepada usahawan serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai karnival yang julung kali diadakan ini.
“Karnival Warisan @ Saloma menawarkan lebih 150 reruai jualan kepada pengunjung. Bazar ini bakal menjadi tumpuan pembeli, termasuk golongan profesional, ekspatriat dan pelancong di kawasan Segitiga Emas yang mencari pengalaman membeli-belah eksklusif dan unik.
“Majlis perasmian karnival ini akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada 16 Mac ini, jam 6 petang.
“Karnival ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan dan akan membabitkan penyertaan usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk memperluaskan pasaran dan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung,” katanya dalam sidang media.
Hadir sama artis seperti Betty Banafee, Shikin Maembong, Cat Farish, Cheb Ali dan Azura Aziz.
Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) turut mengambil bahagian dengan menaja peniaga-peniaga di bawah kendalian mereka.
“Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai perkhidmatan seperti kaunter diskaun, bayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kaunter bayaran zakat.
“Bazar ini juga menawarkan waktu operasi yang fleksibel, bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam, dengan acara jualan 24 jam pada minggu terakhir Ramadan.
“Ia bagi memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membeli-belah pada bila-bila masa tanpa kesesakan,” katanya.
Sebagai penganjur, Saloma Kuala Lumpur juga memberi peluang kepada pelbagai agensi dan persatuan yang terbabit dengan PKS untuk mengambil peluang berniaga di Heritage Fiesta @ Saloma demi untuk meningkatkan pendapatan ahli atau peserta mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




