am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjuran Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang dianjurkan buat julung kalinya di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 Seotember ini bakal disemarakkan dengan penampilan lebih 30 selebriti popular tanah air.
Antara artis terbabit ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi.
Bukan itu sahaja, lebih 20 penyanyi dikir barat yang dekat di hati rakyat Kelantan akan turut membuat persembahan.
Acara amal menanpilkan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ ini anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group.
Wakil penganjur, Muhammad Nazrin Mohamad Isa merangkap koordinator KC Fest berkata, penampilan selebriti yang dekat di hati masyarakat Kelantan turut memainkan peranan penting untuk menarik orang ramai ke acara amal berkenaan.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah.
“Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui pada sidang media festival yang berlangsung di sebuah restoran di ibu kota, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin; pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham dan pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus.
Mengenai festival lagi, Muhammad Nazrin berkata, selain persembahan hiburan, acara juga membabitkan malam kerohanian di mana seramai 1,111 peserta selawat berkumpul dalam Selawat Perdana.
“Ia juga membabitkan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
“Manakala, malam kebudayaan pula akan memecahkan rekod dengan persembahan 1,111 orang pendikir di satu pentas besar dan ditutup dengan pertunjukan bunga api,” katanya yang turut mensasarkan seramai 50,000 pengunjung ke KC Fest berkenaan.
Sementara itu, Kamal Azmi yang juga pengasas Madoo Bee berkata, KC Fest 2025 turut meraikan seramai 500 asnaf dengan sumbangan daripada penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Katanya, acara KC Fest adalah satu tanggungjawab sosial dan tanda prihatin mereka untuk terus membantu golongan asnaf atau yang memerlukan.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest.
“Insya Allah, pihak kami sasarkan sebanyak RM 500,000 untuk tabung berkenaan.
” Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” katanya.
Acara ini juga bakal dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan untuk turun padang berjalan bersama rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




