BAITULMAQDIS: Agensi Yahudi hari ini berkata lebih 5,000 penduduk Ukraine bertanya untuk berpindah ke Israel selepas Russia melancarkan perang ke atas negara mereka.
Agensi yang diwujudkan pada 1929 itu memproses imigresen Israel untuk orang Yahudi di diaspora.
Jurucakap berkata, agensi itu menyediakan talian susulan serangan Russia ke atas Ukraine minggu lalu, bagi membantu orang Yahudi yang ingin berhijrah ke sana dan setakat ini terdapat lebih 5,000 permintaan.
Agensi itu juga menubuhkan enam stesen pemprosesan di sempadan Ukraine dekat Poland, Moldova, Romania dan Hungary.
Stesen itu bertujuan segera membantu gelombang imigresen yang dijangkakan akibat perang di Ukraine, kata satu kenyataan selain memaklumkan lebih ramai akan ditempatkan mengikut keperluan.
Pegawai kerajaan Israel bertanggungjawab menilai kelayakan tuntutan imigresen.
Menurut undang-undang Israel, orang Yahudi, anak, cucu, dan pasangan mereka layak mendapat kewarganegaraan.
Kementerian Luar Israel berkata sekurang-kurangnya 2,000 warga Israel meninggalkan Ukraine sejak Khamis lalu dan menganggarkan sekurang-kurangnya 6,000 lagi rakyatnya masih di negara itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Palestin, Ahmed Al-Deek, berkata pihaknya berusaha membantu kira-kira 2,600 rakyat Palestin di Ukraine.
Antaranya termasuk ratusan pelajar selain pekerja kedutaan negara itu, yang sudah membantu puluhan pelajar berpindah ke Romania dan Poland. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




