zatuliffah@hmetro.com.my
Marang: Lebih 90 peratus daripada 1,500 banduan atau dipanggil sebagai prospek yang mengikuti Progam Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Terengganu mendapat pekerjaan.
Pengarah Penjara Negeri Terengganu Hamid Taha berkata, ia menunjukkan majikan semakin terbuka untuk mengambil prospek bekerja dalam syarikat mereka.
Menurutnya, sokongan daripada keluarga yang menerima prospek juga memberi semangat kepada bekas pesalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
“Faktor utama yang menjayakan program ini adalah peluang pekerjaan, kita lihat di Terengganu ini peluang pekerjaan itu amat terbatas.
“Bagaimanapun kerjasama daripada majikan (dan) keluarga itu memberi ruang untuk syarikat luar ambil mereka bekerja.
“Sehingga hari ini, Alhamdulillah daripada jumlah keseluruhan yang dibebaskan secara lesen ini (PBSL), lebih daripada 90 peratus bekerja akan dapat menyara keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha di Dataran Setia, Penjara Marang di sini, hari ini.
Seramai 118 orang dibebaskan hari ini melalui program PBSL dengan kebanyakan daripada mereka terbabit dalam kes dadah.
Hamid berkata, sehingga kini seramai 150 majikan bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada prospek.
Katanya, program PBSL di Terengganu mendapat kerjasama yang sangat baik daripada majikan dan berharap lebih ramai dalam kalangan mereka menyertai program sama.
“Untuk rekod, lebih 1,500 prospek mengikuti program PBSL sejak 2020 dan jumlah prospek yang masuk semula ke penjara amat rendah sekali gus menunjukkan kejayaan program berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




