Lebur duit RM666,546 dilarikan 'hantu' scammer

Lebur duit RM666,546 dilarikan 'hantu' scammer

am@hmetro.com.my

Jempol: Keghairahan seorang ejen insuran mahu mendapatkan keuntungan banyak dalam tempoh singkat memakan diri apabila dia menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud sehingga kerugian RM666,546.

Lebih parah, warga emas berusia 61 tahun bukan sahaja menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi turut meminjam ratusan ribu ringgit daripada rakannya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa lelaki yang tinggal di Bahau itu diperdaya selepas tertarik skim pelaburan di Facebook pada September tahun lalu.

Katanya, mangsa ditawarkan pulangan menarik dalam bentuk matawang Dollar Amerika.

“Sekiranya melabur sebanyak RM250,000, mangsa akan menerima pulangan keuntungan berjumlah RM1.5 juta.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan membuat transaksi pertama berjumlah RM4,220 pada 5 Oktober 2024 sebelum melakukan 24 transaksi secara berperingkat bermula 5 Oktober 2024 sehingga 7 Januari lalu.

“Mangsa memasukkan wang pelaburan ke dalam lima akaun bank berbeza dan dijanjikan akan mendapat pulangan dalam masa singkat ,”katanya tadi.

Katanya, sehingga Januari lalu mangsa gagal memperolehi keuntungan dijanjikan sebaliknya diminta menambah wang pelaburan atas pelbagai alasan.

Hoo berkata, mangsa turut meminjam wang daripada rakannya untuk melabur dengan alasan kononnya mahu didermakan kepada badan kebajikan.

Justeru itu Hoo tidak menafikan sikap tamak mahu mendapatkan wang yang banyak dalam masa singkat menjadi punca kerugian berganda.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis turut menasihatkan orang ramai yang berminat menyertai sebarang pelaburan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kewangan terlebih dahulu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top