Lelaki bogel larikan diri selepas kelar anak bini sempat belanja budak kampung sarapan

Media sosial semalam dikejutkan dengan tularnya sebuah video seorang lelaki menunggang motorsikal secara telanjang tanpa seutas benang di tubuh di sebuah lebuh raya sekitar Johor Bahru.

Perkara tersebut dikongsikan oleh beberapa akaun Facebook dan salah satunya Alet Naim Nawawi. Video yang berdurasi 16 saaat itu telah dirakam oleh salah seorang pemandu sebelum dimuat naik ke laman Facebook.

Apa yang lebih mengejutkan, lelaki berkenaan dipercayai bertindak kejam dengan mengelar isteri dan bayi berusia 44 hari  semalam  di sebuah rumah di Jalan Dewasa, Bakar Batu.

Memetik laporan Harian Metro, jiran kepada mangsa meluahkan rasa trauma dan tidak menyangka suami wanita tersebut tergamak mengelar isteri dan anak yang berusia 44 hari memandangkan dia seorang yang baik hati.

“Suspek seorang yang baik, malah pagi semalam suspek sempat belanja budak-budak yang bersarapan pagi di warung saya. Dia memang sebaik-baik manusia, tidak pernah kacau orang. Jika bertembung juga sering angkat tangan dan bertegur sapa.”ujarnya.

Menurut Rosimawati Ramli, 36 yang juga pemilik warung sarapan di hadapan lokasi kejadian berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu ada datang ke warungnya untuk bersarapan kira-kira pukul 7 pagi semalam. Malah, dia turut bermurah hati membayar makanan pelanggan lain di situ.

“Saya terkejut dia kata nak belanja pelanggan lain sebab dia tak pernah buat begitu walaupun dia seorang yang baik.

“Ketika itu, dia bayar RM20 untuk nasi lemak dan lontong yang dibeli pelanggan,” katanya.

Sementara itu, pihak polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah ketika menahan suspek kira-kira pukul 2.45 petang semalam di kawasan Permas Jaya.

Sumber: Harian Metro (Izz Laily Hussein)