Lelaki buat aksi ‘backflip’ atas kenderaan bergerak

Lelaki buat aksi ‘backflip’ atas kenderaan bergerak
Lelaki buat aksi ‘backflip’ atas kenderaan bergerak

Lelaki berkenaan cedera di muka selepas gagal membuat aksi berkenaan. Foto Bangkok Post

CHON BURI – Seorang pelancong cedera selepas cuba melakukan salto belakang atau backflip di palang bumbung sebuah pikap ubah suai (songthaew) yang sedang bergerak di Jalan Pantai Pattaya.

Dia hilang keseimbangan sebelum terjatuh dan menghempap muka ke jalan.

Menurut Bangkok Post, insiden itu berlaku sekitar jam 2 pagi Isnin lalu berhampiran Pantai Pattaya 6/1 di daerah Bang Lamung.

Ketika kejadian, lelaki itu bergantung pada palang bumbung belakang songthaew sambil cuba melakukan aksi tersebut ketika kenderaan masih bergerak.

Rakannya yang berada di dalam kenderaan turut bersorak sebelum aksi itu berakhir dengan kemalangan.

Rakaman video kejadian itu tular di media sosial dan tidak mendapat simpati ramai dengan kebanyakan pengguna media sosial menyalahkan tindakan pelancong berkenaan.

Seorang pemandu teksi motosikal yang menyaksikan kejadian berkata lelaki itu bangun sendiri selepas jatuh dan hanya mengalami luka serta bengkak di dahi.

Tiga rakannya kemudian turun membantu mengutip barang sebelum mereka berjalan meninggalkan kawasan pantai tanpa mendapatkan rawatan perubatan.

Saksi juga berkata pelancong itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Seorang pemandu songthaew tempatan pula memberi amaran bahawa perbuatan itu berbahaya dan boleh menyebabkan risiko undang-undang kepada pemandu jika berlaku insiden dalam kenderaan mereka.

 

 

Scroll to Top