Lelaki diarah bayar bekas isteri kos kerja rumah

China: Mahkamah China perintahkan seorang lelaki bayar bekas isterinya hampir AS$8,000 untuk kos kerja rumah yang dilakukan sepanjang perkahwinan mereka. – Foto AFP
Mahkamah China perintahkan seorang lelaki bayar bekas isterinya hampir AS$8,000 untuk kos kerja rumah yang dilakukan sepanjang perkahwinan mereka. – Foto AFP
BEIJING: Seorang lelaki di China diperintah membayar bekas isterinya hampir AS$8,000 (RM32,208) untuk kos kerja rumah yang dilakukan sepanjang perkahwinan mereka dalam kes tuntutan perceraian yang mencetuskan perdebatan di negara itu.

Berdasarkan kanun sivil baru negara itu, yang berkuat kuasa tahun ini, buat pertama kalinya salah seorang pasangan yang bercerai berhak meminta pampasan jika merasakan banyak memikul tanggungjawab di rumah.

Dalam kes itu, bekas isteri yang dikenali sebagai Wang memberitahu mahkamah di Beijing sepanjang lima tahun perkahwinannya, hanya beliau seorang yang ‘menjaga anak dan menguruskan tugas rumah tangga, sementara (suaminya) Chen tidak peduli atau mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga selain pergi bekerja’.

Berdasarkan dokumen mahkamah 4 Februari lalu, wanita itu turut menuntut pampasan tambahan kos menjaga rumah tangga dan mengasuh anak.

Mahkamah itu memutuskan bahawa Wang memang memikul lebih banyak tanggungjawab rumah tangga dan harus menerima 50,000 yuan (RM28,269) ditambah hak penjagaan anak tunggal dan tambahan bayaran alimoni 2,000 yuan (RM1,251) setiap bulan.

Bagaimanapun, Wang dilaporkan mengemukakan rayuan meminta tambahan pampasan 160,000 yuan (RM100,000) menyebabkan tercetusnya perdebatan dalam talian berhubung nilai sebenar kos kerja rumah dilakukan surirumah yang selama ini tidak dibayar.

Dengan tanda pagar popular ‘isteri tinggal di rumah menerima pampasan kerja rumah tangga 50,000 yuan (RM31,295)’ dikongsi 570 juta di platform Twitter seperti Weibo semalam.

“Wanita tidak boleh hanya menjadi isteri di rumah… ketika anda bercerai, anda tidak akan mendapat apa-apa. Pampasan 50,000 yuan sebagai bayaran kerja rumah hanyalah omong kosong,” menurut salah satu komen dalam media sosial itu.

“Pengasuh sepenuh masa boleh dibayar lebih dari ini selama setengah tahun, adakah nilai remaja perempuan dan perasaan wanita semurah ini murah?” kata salah satu komen.

“Nilai pampasan itu mengambil kira jangka waktu perkahwinan pasangan itu ditambah ‘usaha Wang melakukan kerja rumah, pendapatan Chen dan kos sara hidup setempat’,” kata salah seorang hakim, seperti dilaporkan media tempatan.

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan bahawa wanita China menghabiskan hampir empat jam melakukan kerja rumah tanpa gaji setiap hari – 2.5 kali ganda berbanding lelaki dan rata-rata lebih tinggi daripada jumlah itu.

Perceraian di China meningkat dalam dua dekad kebelakangan ini ketika negara itu melaksanakan liberalisasi undang-undang perceraian.

Dalam masa yang sama wanita di negara itu diberikan lebih kebebasan dari segi kewangan – di saat Beijing kini berusaha meningkatkan kadar kelahiran berikutan populasi yang semakin tua.

Sumber- AGENSI

Malay News
World Desk