Lelaki didenda RM6,000 guna MyKad orang meninggal dunia

Lelaki didenda RM6,000 guna MyKad orang meninggal dunia

BALIK PULAU – Seorang ahli perniagaan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan butiran kad pengenalan orang yang telah meninggal dunia untuk perjanjian sewa rumah bagi tujuan melombong bitcoin.

Majistret, Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Chong Lim, 42, dan memerintahkannya dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Chong Lim didakwa dengan sengaja menipu P. Sundresan, 43, secara bersemuka dengan menggunakan maklumat butiran kad pengenalan milik Chew Kok Wah, 48, untuk menandatangani surat perjanjian penyewaan menggunakan khidmat ejen GIC Properties Sdn Bhd.

Surat perjanjian itu dibuat untuk menyewa rumah di No 2, Lintang Kampung Masjid Teluk Kumbar bagi tujuan menjalankan aktiviti cari gali bitcoin dengan cara mencuri arus elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara haram sejak 15 Ogos 2021 sehingga 3 Julai 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2021 di No 597, Jalan Ayer Putih Balik Pulau di sini.

Tertuduh mengaku bersalah dan didenda RM6,000.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati telah memberikan kepada pengadu kad pengenalan milik individu lain yang sudah meninggal dunia untuk menandatangani surat perjanjian sewa rumah tersebut pada 2021.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Selain itu, pengadu dalam kes ini telah difailkan bankrap susulan disaman TNB kerana mereka mengalami kerugian RM129,865.42 disebabkan arus elektrik yang telah dicuri tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan pendapatan bulanan RM5,000 selain perlu menanggung keluarga termasuk bapa yang uzur. – MalaysiaGazette

Scroll to Top