
Pakatan Harapan akan meneruskan segala persiapan sedia ada bagi menghadapi PRN Johor. Gambar hiasan Foto: Bernama
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor akan membawa perbincangan berhubung strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diumumkan kerajaan negeri pada Isnin.
Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, gabungan itu memaklumkan langkah seterusnya akan dirangka bersama kepimpinan tertinggi PH bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
Menurut mereka, PH sebenarnya sudah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan membubarkan DUN dalam masa terdekat dan berpendapat pengumuman sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun sebelum ini tidak lagi munasabah berdasarkan perkembangan politik semasa.
“Pakatan Harapan akan meneruskan segala persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini dan perbincangan akan dipanjangkan ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan Pusat bagi merangka langkah seterusnya,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
PH turut menegaskan mereka tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi meskipun berdepan BN yang kini menerajui kerajaan negeri.
“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah. Pakatan Harapan siap sedia menggembeling usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini,” katanya.



