Ipoh: Polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, menerusi siaran langsung di platform TikTok.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Abdul Malik Hasim berkata lelaki tersebut ditahan di kediamannya di Ipoh, kira-kira 1 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.
“Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Tapah esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, Abdul Malik berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Beliau berkata sebanyak 11 laporan polis telah diterima berhubung kes berkenaan.
Semalam, lelaki terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui satu rakaman video susulan kontroversi melibatkan sesi siaran langsungnya di platform TikTok, yang didakwa memfitnah Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu, Pos Musoh Mohd Asmmadi Abdullah dan Jaslinda.
Sebelum itu, dalam sesi siaran langsung melalui akaun sama lelaki berkenaan mendakwa Jaslinda telah “disimpan” oleh Mohd Asmmadi selama dua minggu dan mendakwa jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan tok batin akan berkahwin dengan wanita berkenaan.
Sabtu lepas, Jaslinda, 49, ditemui selamat oleh penduduk KOA Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, di Tapah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




