Lelaki disyaki tampar pemandu wanita disiasat

Lelaki disyaki tampar pemandu wanita disiasat

am@hmetro.com.my

Labuan: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki dipercayai menampar pemandu wanita disyaki berlaku di Jalan Tun Mustapha, di sini, 21 Mac lalu.

Kejadian jam 3.51 petang itu membabitkan seorang lelaki yang didakwa memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kejadian berkenaan sempat dirakam pengguna jalan lain dan tular di Facebook sehingga menerima pelbagai kritikan daripada netizen.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kertas siasatan pertama dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 28 tahun.

Katanya, siasatan kedua pula dibuka mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan lain.

“Pihak polis juga menjalankan siasatan selari mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkaitan kegagalan mengambil laporan pihak mangsa.

“Pihak polis turut meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Hamizi berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Ruslan Tarai di talian 019-3000011 atau 087-412222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top