Lelaki ditahan tunjuk kemaluan – Utusan Digital

PETALING JAYA: Gara- gara berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) USJ 21 dekat sini, seorang lelaki ditahan polis semalam. 

 

Tangkapan tersebut dilakukan selepas pihak polis menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis USJ 8 di sini kira-kira pukul 12.54 tengah hari, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, mangsa mendakwa suspek berusia 33 tahun itu menghampirinya sebelum membuka seluar serta mengeluarkan kemaluan ketika dia berada di lokasi kejadian.

 

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis. Malah, video kelakuan lelaki terbabit turut tular dalam media sosial.

 

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat bagi mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Abd. Khalid turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan tidak berkelakuan melampaui batas.

 

“Kami turut mengalu-alukan maklumat orang ramai. Mereka boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Comment