Lelaki ditangkap hentak kepala isteri dengan batu, gilis mangsa

Lelaki ditangkap hentak kepala isteri dengan batu, gilis mangsa

TAIF: Jabatan Siasatan Jenayah Polis di wilayah Taif menangkap seorang pemuda Arab Saudi yang dituduh membunuh dengan kejam isterinya yang baru dinikahi, dengan menghentak kepala wanita itu dengan batu dan menggilis mangsa dengan keretanya, lapor Saudi Gazette, semalam.

Pembunuhan ngeri itu berlaku selang seminggu selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Polis sudah menyerahkan tertuduh kepada Pendakwa Raya untuk menyelesaikan siasatan mengenai kejadian itu.

Menurut sumber polis kepada Saudi Gazette, lelaki 30-an itu sedang dalam perjalanan pulang bersama isterinya ke Taif dan ketika mereka tiba dekat dengan sebuah pagar, tertuduh menghentikan kenderaan dan menghentak isterinya dengan batu.

Lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa dengan berlumuran darah di tepi jalan dan melarikan diri dari tempat kejadian dengan keretanya.

Pasukan keselamatan dan pasukan Bulan Sabit Merah bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh orang lalu-lalang mengenai seorang wanita muda yang berlumuran darah di tepi jalan.

Jabatan Siasatan Jenayah Polis Taif melancarkan buruan besar-besaran untuk menangkap pelakunya.

Mereka berjaya mengesan kenderaan meskipun lelaki itu mematikan telefonnya dan melarikan diri dari tempat kejadian dalam usaha untuk menyembunyikan diri, lapor Saudi Gazette.

Bagaimanapun, lelaki itu menyerah diri tanpa pergelutan apabila pasukan keselamatan mengepungnya di kawasan Al-Zima di Makkah dan menangkapnya.

Jurucakap polis Makkah berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4 Ogos mengenai jenayah yang mana pemuda terbabit menolak isterinya keluar daripada kereta sebelum menghentak kepala mangsa dengan batu dan kemudian menggilis mangsa dengan kereta.

Wanita berkenaan ditemui mati di tempat kejadian, kata jurucakap itu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top