Lelaki dituduh tumbuk bapa mentua hingga maut

Lelaki dituduh tumbuk bapa mentua hingga maut

am@hmetro.com.my

Seremban: Operator pengeluaran kilang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bapa mentuanya, akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, V Karthiy, 32, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hazeelia Muhammad.

Mengikut pertuduhan, Karthiy didakwa menumbuk dada bapa mentuanya, P Sasi Kumar, 52, bertubi-tubi dan memukul hingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan pada 2.30 petang di Taman Rahang di sini, 27 April lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh diwakili peguam A R Thamayanthy.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Jun depan bagi laporan bedah siasat dan laporan kimia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top