
Seorang lelaki di China disifatkan mengalami keajaiban perubatan apabila tersedar selepas 40 jam tanpa degupan jantung akibat serangan jantung. Gambar hiasan
BEIJING – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di China disifatkan mengalami keajaiban perubatan apabila tersedar selepas 40 jam tanpa degupan jantung akibat serangan jantung.
Menurut laporan South China Morning Post, lelaki itu pada awalnya mengalami serangan dan tidak menunjukkan sebarang tanda denyutan jantung walaupun beberapa kali diberikan kejutan elektrik defibrilasi oleh pasukan perubatan.
Situasi kritikal itu memaksa doktor menggunakan rawatan extracorporeal membrane oxygenation (ECMO), iaitu mesin sokongan hayat yang berfungsi sebagai jantung dan paru-paru buatan bagi memastikan aliran oksigen dalam badan pesakit terus berjalan.
Melalui penggunaan teknologi tersebut, pesakit akhirnya berjaya diselamatkan walaupun jantungnya telah berhenti berdegup hampir dua hari, satu tempoh yang jarang berlaku dalam dunia perubatan.
ECMO lazimnya digunakan sebagai bantuan sementara kepada pesakit yang mengalami kegagalan jantung atau paru-paru, termasuk mereka yang menunggu pemindahan organ.
Dalam kes berkenaan, doktor memaklumkan bahawa cabaran utama rawatan adalah memastikan aliran darah mencukupi bagi mengelakkan pembekuan darah yang boleh membawa maut.
Pada masa sama, pasukan perubatan juga perlu menyeimbangkan risiko pendarahan dan pembekuan darah, yang merupakan komplikasi biasa dalam penggunaan ECMO.
Keadaan itu memerlukan pemantauan rapi serta kepakaran tinggi sepanjang tempoh rawatan.
Selepas degupan jantungnya kembali pulih, lelaki tersebut terus bergantung kepada mesin ECMO selama kira-kira 10 hari sebelum keadaannya semakin stabil.
Kes tersebut sekali gus mencetuskan perhatian ramai, dengan pakar menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kemajuan teknologi perubatan moden dalam menyelamatkan nyawa, walaupun dalam keadaan yang sangat kritikal.



