Lelaki lari sekatan jalan raya maut tunggang motosikal lawan arus

Lelaki lari sekatan jalan raya maut tunggang motosikal lawan arus

am@hmetro.com.my

Papar: Lelaki maut selepas dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus dan terbabit nahas dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, laluan Pan Borneo, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati ketika pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bersama dua penumpang dari Kampung Sulim, Kinarut menuju ke Kampung Langkuas, Kinarut.

Katanya, ketika itu, pemandu Toyota Hilux berada di lorong kanan, sebelum mendapati sebuah motosikal Yamaha Y15 ditunggang seorang lelaki dalam keadaan melawan arus berada di hadapan laluannya.

“Pemandu cuba menekan brek dan mengelak ke lorong kiri namun motosikal itu yang ditunggang secara melulu melanggar hadapan kenderaannya.

“Akibat perlanggaran itu, lelaki bersama motosikal tercampak ke dalam parit yang berada di tengah-tengah pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, lelaki terbabit dikatakan menunggang motosikal seorang diri ke Kota Kinabalu dipercayai cuba untuk melarikan diri daripada diperiksa dalam sekatan jalan raya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Katanya, pasukan JSPT belum sempat memeriksa, penunggang segera melarikan diri secara melawan arus di laluan utama sehingga motosikal melanggar Toyota Hilux.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top