Geran Khas Interim Sabah Naik kepada RM1.5 Bilion

Geran Khas Interim Sabah Naik kepada RM1.5 Bilion

Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan geran khas interim kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sementara menunggu mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimuktamadkan.

Katanya, jumlah berkenaan merupakan bayaran interim dan tidak menggantikan tuntutan sebenar yang masih dalam proses rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Jelas Anwar, komitmen kerajaan untuk melaksanakan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah telah diputuskan dan diumumkan secara rasmi, namun beberapa perkara berkaitan kaedah pelaksanaan masih perlu diperhalusi.

“Soal 40 peratus (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.

“Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mempercepatkan proses tersebut, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, diamanahkan untuk memperincikan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, penelitian yang teliti diperlukan kerana sebarang keputusan berkaitan MA63 bukan sahaja memberi kesan kepada Sabah, malah turut melibatkan Sarawak serta negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Keputusan (ini) terkait dengan perjanjian 1963 (MA63). Jadi tiap keputusan kita, jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci dan ia mengambil masa sedikit, tetapi tidak akan menolak bahawa dana harus diberikan,” katanya.

KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA


Scroll to Top