Lelaki maut dibaham buaya ketika menjala ikan

Lelaki maut dibaham buaya ketika menjala ikan

am@hmetro.com.my

Bintulu: Seorang lelaki maut selepas diserang dan dibaham buaya ketika keluar menjala ikan di Sungai Nyigu, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat David Gira, 49, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 2.32 petang hari ini, kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa menemukan bekas gigitan reptilia ganas itu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, sejurus mayat dibawa ke daratan, ahli keluarga dipanggil untuk proses pengecaman sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat.

Dalam insiden yang berlaku 5.30 petang semalam, mangsa keluar menjala ikan seorang diri sebelum gagal pulang ke rumah, mencetuskan kebimbangan ahli keluarga yang kemudian melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top