Malaysia perlu lebih banyak pekerjaan berkualiti

PETALING JAYA: Malaysia berdepan krisis pewujudan pekerjaan berkualiti apabila pasaran hanya mampu mencipta sekitar 120,000 hingga 130,000 pekerjaan formal baharu setahun, sedangkan sehingga 500,000 tenaga buruh baharu memasuki pasaran dalam tempoh lima tahun lalu.

Lebih membimbangkan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan setiap tahun jauh lebih rendah berbanding jumlah graduan baharu, menyebabkan pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus setahun masih belum diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat.

Penyelidik PNB Research Institute (PNBRI), Farhana Roslan berkata, keadaan itu menunjukkan cabaran pasaran buruh Malaysia bukan lagi sekadar menyediakan tenaga kerja, tetapi memastikan ekonomi mampu mewujudkan pekerjaan yang cukup berkualiti untuk menampung tenaga buruh yang terus bertambah.

Ujarnya, walaupun dasar gaji minimum membantu meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah sepanjang dekad lalu, pekerjaan bergaji sederhana yang melibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia hampir tidak mencatat pertumbuhan.

“Firma besar, misalnya, membayar gaji median sehingga tiga kali lebih tinggi berbanding gaji median keseluruhan, namun saiz pasaran mereka semakin mengecil, sekali gus mengehadkan keupayaan menyerap lebih ramai pekerja.

“Isu ini tidak boleh diselesaikan hanya menerusi kenaikan gaji yang diarahkan kerajaan.

“Sebaliknya, peningkatan produktiviti dan perubahan struktur ekonomi diperlukan bagi memastikan pertumbuhan gaji dapat disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebenar tanpa mencetuskan tekanan inflasi,” katanya dalam laporan bertajuk ‘Strategi Pekerjaan Berkualiti untuk Malaysia.’

Bagi menangani jurang berkenaan, PNBRI mencadangkan lima strategi utama untuk meningkatkan bekalan pekerjaan yang baik dalam ekonomi Malaysia.

Pertama, pembangunan bakat perlu lebih diterajui majikan bagi memastikan latihan yang disediakan sepadan dengan keperluan dan kekosongan pekerjaan sebenar.

Kedua, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional perlu diperkukuh, termasuk penggunaan insentif untuk menarik pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik.

Ketiga, dasar inovasi dan teknologi perlu memberi keutamaan kepada penggunaan teknologi yang meningkatkan produktiviti pekerja.

Keempat, dasar perdagangan dan pelaburan perlu diselaraskan dengan matlamat mewujudkan pekerjaan berkualiti serta pertumbuhan gaji jangka panjang.

Kelima, model tadbir urus baharu perlu diwujudkan menerusi sasaran yang fleksibel serta saluran pertukaran maklumat lebih cekap antara firma dengan kerajaan.

PNBRI menegaskan, pekerjaan yang baik bukan sekadar pekerjaan bergaji tinggi, sebaliknya pekerjaan yang menawarkan pendapatan wajar dan stabil, peluang membina kemahiran, laluan kerjaya serta jaminan sosial sepanjang hayat bekerja. – UTUSAN

Scroll to Top