Lelaki maut jatuh dari jejambat berhampiran MRT Titiwangsa

Lelaki maut jatuh dari jejambat berhampiran MRT Titiwangsa

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 47 tahun maut selepas terjatuh dari jejambat berhampiran transit aliran massa (MRT) Titiwangsa, Jalan Tun Razak, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ariffin Sulaiman berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8 pagi menerusi panggilan kecemasan MERS 999.

Menurutnya, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan mengiring ke kiri di bawah jejambat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelah kiri, luka pada ibu jari kanan serta kecederaan pada lengan kiri,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan lain yang mencurigakan dikesan setakat ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top