Lelaki menang pilihan raya dengan kempen sinis ‘saya tak suka politik’

Lelaki menang pilihan raya dengan kempen sinis ‘saya tak suka politik’

OTTAWA – Seorang lelaki dari Kanada mencuri perhatian pengguna media sosial selepas memenangi pilihan raya majlis bandar raya meskipun mengakui dirinya ‘tidak layak’ memegang jawatan itu.

Brady Rogers, 33, seorang usahawan dari Kelowna, British Columbia berjaya memenangi kerusi majlis bandar raya pada pilihan raya pihak berkuasa tempatan pada 17 Oktober lalu.

Keputusan awal menunjukkan Rogers memperoleh 12,635 undi, sekali gus menduduki tempat keempat daripada 37 calon yang bertanding bagi merebut lapan kerusi majlis. Sekiranya keputusan itu disahkan, kedudukannya sebagai ahli majlis akan dimuktamadkan.

Rogers mula mencuri perhatian menerusi papan tanda kempennya yang memaparkan slogan bersahaja dan berseloroh, antaranya ‘Saya pun tak berapa berminat nak buat kerja ini’, ‘Sekadar mahu membayar sewa’, ‘Baiklah, saya lakukannya’ dan ‘Susah sangatkah tugas ini?’

Kenyataan menerusi laman web kendaliannya juga agak kontroversi apabila beliau memperkenalkan dirinya secara sinis,’Hai, saya Brady. Adakah saya suka politik? Tidak. Adakah saya tahu apa yang saya buat? Tidak. Tetapi adakah saya layak? Pun tidak’.

Di sebalik pendekatan bersahaja itu, Rogers berkata, beliau amat mengambil berat tentang bandar berkenaan terutamanya perniagaan kecil dan golongan gelandangan.

Menurutnya, penyertaan dalam pilihan raya itu merupakan peluang untuk memahami cara bandar ditadbir, pihak yang mendapat manfaat daripadanya dan memastikan kebajikan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.

“Bidang kejuruteraan mengajar saya bahawa jawapan yang baik bermula dengan soalan yang tepat. Pemahaman perlu didahulukan sebelum mencari penyelesaian. Saya fikir prinsip itu juga terpakai dalam politik. Jadi, walaupun saya tidak mempunyai semua jawapan, saya tahu cara untuk terus bertanya sehingga benar-benar memahami sesuatu perkara,” jelasnya,

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya berkhidmat untuk rakyat dan mempertahankan kepentingan mereka.

Sebelum menceburi politik, Rogers pernah bekerja selama empat tahun sebagai jurutera automasi robotik. Beliau juga mengusahakan perniagaan bersama isterinya iaitu The Rogerie, sebuah perusahaan yang memproses sisa plastik menjadi produk baharu. – Agensi

Scroll to Top