Lelaki mengaku Presiden MERHROM didakwa urus pertubuhan tidak berdaftar

Lelaki mengaku Presiden MERHROM didakwa urus pertubuhan tidak berdaftar

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pengurusan pertubuhan tidak berdaftar.

Tertuduh, Zafar Ahmad Abdul Ghani, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] dan memohon dibicarakan.

Pendakwaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Inspektor S Sivalingam dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap aktiviti MERHROM di media sosial termasuk kenyataan dan penerbitan oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.

Semakan mendapati MERHROM tidak berdaftar dengan JPPM, manakala tertuduh pula bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar menggunakan nama tersebut.

Kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.

JPPM memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang.

Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan.

Mahkamah menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top