Lelaki muat naik hantaran hina Islam, direman 4 hari

Lelaki muat naik hantaran hina Islam, direman 4 hari

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik hantaran di Facebook yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap agama Islam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya menerima laporan semalam daripada seorang lelaki tempatan yang melihat satu hantaran tular di laman sosial berkenaan.

“Semakan mendapati pemilik akaun Facebook “Fadzil Zahari” berkongsi beberapa gambar tangkap layar yang dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun “Parthiban Ragu”, mengandungi kenyataan menghina agama Islam serta ungkapan jelik dan lucah terhadap Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan seorang lelaki tempatan pada jam 1 pagi hari ini di sekitar Iskandar Puteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan majistret membenarkan permohonan reman terhadap lelaki itu selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihaknya memberi peringatan tegas kepada semua pihak supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam apa juga bentuk yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 07-2212999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top