harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan cop perjalanan didalangi seorang lelaki Pakistan dalam serbuan Ops Serkap di ibu negara, pada Isnin lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, suspek berusia 36 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak setahun lalu dengan menyasarkan individu dipercayai sahaja.
“Berdasarkan siasatan, sindiket ini mengenakan bayaran kira-kira RM350 bagi setiap dokumen yang dipalsukan.
“Mereka membuat pemalsuan dokumen imigresen termasuk cop keluar masuk membabitkan beberapa negara serantau dan menyasarkan pelanggan warga asing,” katanya pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur selepas menjalankan risikan kira-kira tiga minggu susulan maklumat berhubung kegiatan suspek.
Katanya, dua wanita warga Pakistan berusia 27 dan 16 tahun turut ditahan dalam serbuan itu di mana salah seorang daripada mereka dipercayai teman wanita suspek utama.
“Kita menemui dan merampas pelbagai peralatan pemalsuan dokumen termasuk enam cop keluar masuk sempadan antarabangsa.
“Modus operandi suspek memalsukan dokumen seperti tiket penerbangan, maklumat tempahan hotel secara digital dan memalsukan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan mengubah butiran pas berkenaan.
“Kami menemui beberapa tiket kapal terbang membabitkan beberapa syarikat penerbangan yang disyaki palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu berkenaan untuk dimuat naik ke dalam sistem permohonan visa dalam talian.
Katanya, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, pelanggan hanya berurusan melalui orang tengah atau ejen yang dipercayai dengan menerima komisen sehingga RM150.
“Siasatan lanjut ke atas suspek yang ditahan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




