lizamridzuan@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Karnival GenBlu Yamaha 2026 bukan sekadar menghimpunkan lebih 10,000 peminat Yamaha, malah menjadi pentas pengenalan empat model baharu dalam segmen moped, skuter dan motosikal retro.
Model paling mencuri perhatian ialah Yamaha Y16ZR-R, yang tampil dengan peningkatan prestasi serta teknologi baharu termasuk nisbah gear sekunder yang dipertingkatkan.
Y16ZR-R turut menjadi moped Yamaha pertama dilengkapi Traction Control System (TCS) dan Simple Communication Control Unit (SCCU). Ia ditawarkan pada harga RM10,888.
Turut diperkenalkan ialah Yamaha Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica, terhad kepada 3,000 unit di seluruh dunia, lengkap dengan livery Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, Serial Number Emblem dan suspensi Öhlins.
Model edisi khas itu ditawarkan pada harga RM13,388, dengan kedua-dua varian Y16ZR-R dijangka berada di pengedar sah Yamaha mulai pertengahan Ogos.
Bagi segmen skuter, Yamaha XMAX 300 Tech Max melengkapkan penawaran XMAX 250 sedia ada, dengan peningkatan dari segi prestasi, ergonomik dan kemasan premium.
Ditawarkan dalam warna Crystal Graphite, XMAX 300 Tech Max berharga RM28,499 dan akan berada di pengedar Yamaha mulai pertengahan Ogos.
Sementara itu, Yamaha XSR155 menggabungkan reka bentuk retro dengan teknologi moden, ditawarkan dalam tiga warna iaitu Malar Hijau, Perak Klasik dan Royale Hitam.
XSR155 dijual pada harga RM12,998 dan dijangka memasuki pasaran Malaysia pada suku keempat 2026.
Turut hadir ketika pelancaran ialah Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr Jim Khor dan Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




