
Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dipercayai dirempuh kereta api ketika membuang air kecil berhampiran landasan di Jalan Kamphaeng Phet 7, kawasan Makkasan pada Isnin. Foto: Agensi
BANGKOK – Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dipercayai dirempuh kereta api ketika membuang air kecil berhampiran landasan di Jalan Kamphaeng Phet 7, kawasan Makkasan pada Isnin.
Menurut laporan Thai PBS, kejadian berlaku kira-kira 800 meter sebelum lintasan kereta api Asoke di daerah Ratchathewi.
Saksi dikenali sebagai Sunan berkata, sebelum kejadian dia sedang membeli makanan berhampiran lokasi apabila terdengar seorang peniaga menjerit memberi amaran mengenai ketibaan kereta api.
Katanya, dia kemudian melihat mangsa berdiri di tepi landasan sambil dipercayai sedang menarik zip seluar sebelum cuba memberi amaran kepada individu terbabit, namun tidak menerima sebarang respons.
“Pemandu kereta api sudah membunyikan hon amaran dari jarak agak jauh, namun mangsa masih tidak bergerak sebelum dirempuh,” katanya.
Sunan berkata, dia bersama seorang peniaga berlari membantu mangsa dan mendapati individu itu memakai topi keledar serta fon kepala ketika kejadian.
Difahamkan, mangsa dipercayai tidak mendengar bunyi hon kereta api disebabkan penggunaan fon kepala dan topi keledar penuh.
Sementara itu, Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Makkasan, Leftenan Polis Chanach Prada berkata, mangsa yang merupakan penunggang motosikal dipercayai berada di kawasan berkenaan bagi urusan peribadi ketika kereta api menghampiri.
Menurutnya, pemandu kereta api kemudian memberhentikan tren sebelum tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan. – Agensi



