JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang berpura-pura menyemak dokumen sebelum menyamun dan mencederakan dua warga asing etnik Rohingya di Taman Perling, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, hasil risikan dan maklumat awam, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 25 tahun itu pada pukul 5.40 petang.
Menurut beliau, pemahaman suspek susulan dua laporan polis diterima pihaknya daripada kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 35 tahun.
“Dalam kejadian pertama di Taman Perling, mangsa yang menunggang motosikal mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan mesin pemotong rumput miliknya dirampas.
“Bagi kejadian kedua di kawasan berhampiran, suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR. Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Ab. Rahaman berkata, susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian urin negatif. Suspek direman sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392; Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Polis turut memanggil pemilik motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 76 tahun bagi merakam keterangan, selain membuat semakan ketulenan kad UNHCR mangsa menerusi pejabat UNHCR di Kuala Lumpur,” katanya.-UTUSAN

