Lelaki tembak 3 individu termasuk budak perempuan di Tak Bai

Lelaki tembak 3 individu termasuk budak perempuan di Tak Bai

Bangkok: Seorang lelaki bersenjata menembak mati tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam kejadian di daerah Tak Bai, wilayah bergolak selatan Thailand, semalam.

Menurut polis, kejadian berlaku di kawasan perumahan dan turut mengorbankan seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun.

“Seorang mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” kata pegawai polis tempatan, Leftenan Kolonel Watthana Thurarat.

Katanya, dua individu lain turut cedera dalam kejadian berkenaan.

Pihak berkuasa kini sedang memburu suspek yang dipercayai masih bebas dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pemisah.

Wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala yang majoritinya penduduk Islam, sering dilanda keganasan sejak pemberontakan bersenjata tercetus pada 2004, dengan lebih 7,000 nyawa terkorban hingga kini.

Namun, serangan terhadap orang awam di kawasan kediaman jarang berlaku kerana kebanyakan serangan menyasarkan anggota keselamatan.

Pada 2004, daerah Tak Bai pernah mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila tujuh penunjuk perasaan ditembak mati di luar balai polis, diikuti kematian 78 tahanan akibat sesak nafas dalam trak tentera ketika ketika dalam tahanan, insiden yang dilihat mencetuskan gelombang pemberontakan.

Tahun lalu, Mahkamah Thailand menolak kes Tak Bai selepas tempoh pendakwaan tamat, menyebabkan keluarga mangsa kecewa dan penganalisis memberi amaran keputusan itu boleh memburukkan lagi ketegangan di wilayah selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top