Lelaki terjatuh ketika uji bot ditemukan lemas

Lelaki terjatuh ketika uji bot ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ketika melakukan ujian bot berhampiran Jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin, Rompin, kelmarin ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Syed Khalid Syed Ahmad Munshee, 50, dari Tanjung Pahang Tua, Pekan ditemukan dalam keadaan terdampar di beting pasir oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam pada jam 11.45 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terdampar di beting pasir kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, mayat diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan penemuan itu, SAR yang digerakkan sejak kelmarin ditamatkan jam 12.25 tengah hari ini,” katanya.

Berdasarkan laporan, mangsa bersama seorang rakan dipercayai terjatuh dari bot yang sedang diuji berhampiran jeti kira-kira jam 6 petang.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras manakala rakannya selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top