hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan kerana dipercayai membuat ugutan jenayah terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di media sosial, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 57 tahun itu direman dua hari untuk membantu siasatan.
Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman terhadapnya tamat, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, lelaki berkenaan yang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 12.10 tengah malam, direman dua hari bermula semalam.
Sebelum ini Rusdi dilaporkan berkata, penahanan dibuat susulan laporan yang diterima daripada pegawai penguat kuasa DBKL pada 1.07 tengah hari.
“Laporan itu mengenai tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan tangkap layar berkenaan adalah ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Rusdi dipetik berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
© New Straits Times Press (M) Bhd




