Lelaki warga emas maut akibat renjatan elektrik

Tawau: Seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Kinabutan Ria, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu menerusi talian MERS 999 pada 6.09 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota yang digerakkan ke lokasi menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.

“Bomba mohon bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan sebelum usaha mengalihkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian mangsa dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada 7.42 malam selepas kawasan itu disahkan selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top