SELEPAS lebih 14 tahun beroperasi di Kampung Salak Tinggi Sepang, Lemang Belia Gugusan Salak (Bagus) terus menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai juadah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Ketua Belia Gugusan Salak (Bagus), Muhammad Hydier Hamid, 47, berkata, untuk tahun ini Lemang Bagus bukan sahaja dipasarkan untuk juadah hari raya tetapi pihaknya meneruskan tradisi memperuntuk sebahagian hasil jualan lemang untuk kerja kebajikan.
“Sebelum ini kita menyumbang hasil jualan lemang untuk membeli dan menyenggara van jenazah, membeli kit pengurusan jenazah, katil boleh laras dan membantu asnaf.
“Untuk hasil jualan lemang tahun ini, kita akan membantu golongan memerlukan seperti pesakit angin ahmar yang terlantar untuk diberi kerusi roda dan lain-lain bantuan yang diperlukan.
“Sementara mereka menunggu permohonan bantuan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor diluluskan kita mendapat permintaan untuk membantu mereka membeli lampin pakai buang,susu formula, tiub,’urine pad’ dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di lokasi Pusat Jualan Lemang Bagus, di sini baru-baru ini.

Sebahagian daripada hasil jualan lemang dikongsi bersama golongan yang memerlukan.
Muhammad Hydier berkata, kos untuk seorang pesakit terlantar adalah antara RM700 hingga RM800 dan pihaknya berpendapat bantuan tersebut mampu mengurangkan beban kewangan pesakit untuk tempoh dua tiga bulan sementara menunggu bantunan agensi terbabit.
Katanya yang turut menyasarkan jualan lemang sebanyak 37 ribu batang tahun ini, bantuan kebajikan tersebut akan diteruskan secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu dalam keadaan ekonomi rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos seharian.
“Kita bukan hendak melangkaui peranan agensi untuk membantu masyarakat tetapi sekadar menjadi sukarelawan membantu dalam kerja-kerja kebajikan.
“Kita juga belikan pelbagai jenis tongkat yang bernilai RM30 setiap satu untuk disumbang kepada orang kampung dan disampaikan sendiri oleh golongan belia.Inilah peluang untuk mereka belajar bergaul dengan masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai operasi Lemang Bagus tahun ini, pihaknya turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 10 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kru yang menyediakan lemang daripada peringkat awal hingga proses membakar.

Muhammad Hydier (kiri) dan kru Lemang Bagus sedang menguruskan pembakaran lemang.
Jelasnya lagi, kesemua belia terlibat bukan sahaja dilatih bekerja malahan diajar skil berinteraksi dengan pembeli lemang daripada pelbagai latar belakang.
“Sebagai seorang yang terlibat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) saya akan mengenal pasti belia-belia yang boleh diketengahkan untuk ke Pusat GiatMara dan lain-lain agensi bagi mendalami kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Di sini lebih 30 kru kita bukan sahaja menjual lemang tetapi ia mampu menjadi wadah latihan kepada belia untuk membentuk peribadi sebagai insan yang mempunyai skil pekerjaan sebelum ke fasa kehidupan seterusnya,” ujarnya.
Muhammad Hydier memberitahu, di Lemang Bagus bukan sahaja golongan belia disantuni malahan penduduk setempat dan usahawan kecil dan sederhana turut dibantu.
Tambahnya lagi, pihaknya turut membuka peluang kepada golongan tersebut dengan mewujudkan segmen Bagus Cookies yang menjual biskut raya selain penduduk setempat yang membekalkan rendang ayam dan daging.
“Sebagai anak tempatan kita akan terus berbakti membantu penduduk kampung meningkatkan ekonomi selain menjaga kebajikan mereka,” jelasnya.
Jika ada yang berminat untuk merasai keenakan Lemang Bagus sambil berbakti,ia dijual mengikut saiz dengan harga RM14 hingga RM26.



