NEW YORK – Lembaga Keamanan Trump mengumumkan pelan separa pemulihan Gaza bernilai AS$2.45 bilion (RM9.9 bilion) ketika mengadakan pertemuan di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Rabu.
Dana itu akan disalurkan menerusi 66 program dalam tempoh enam bulan bagi memenuhi keperluan termasuk perumahan, penjanaan elektrik menggunakan diesel dan pembersihan sisa runtuhan.
Lembaga itu menganggarkan Gaza memerlukan kira-kira AS$71.4 bilion (RM291 bilion) bagi proses pemulihan dan pembinaan semula dalam tempoh sedekad akan datang.
Menurutnya, hanya AS$280 juta (RM1.14 bilion) daripada AS$18 bilion (RM73 bilion) yang dijanjikan telah diterima setakat ini.
Anggota Lembaga Eksekutif, Jared Kushner yang juga menantu Presiden Donald Trump mengakui projek berkenaan berdepan pelbagai kelewatan atas sebab tertentu.
“Matlamat pertemuan hari ini adalah untuk menunjukkan bahawa kami benar-benar komited terhadap usaha tersebut,” katanya dalam sesi itu yang turut menghimpunkan anggota lembaga dan pihak berkepentingan.
Selain isu pembiayaan, pelan pembangunan semula itu turut berdepan cabaran besar termasuk memastikan keselamatan petugas yang beroperasi di Gaza, melakukan pembaharuan terhadap pentadbiran dalaman dan mencapai kesepakatan antara Israel serta kepimpinan baharu Palestin. – Agensi
