Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark diiktiraf tapak warisan UNESCO

 Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark diiktiraf tapak warisan UNESCO

PETALING JAYA: Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark secara rasmi diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) ketiga dan keempat di Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengiktirafan berprestij itu dimuktamadkan Lembaga Eksekutif UNESCO pada 23 April di Paris, Perancis bersama-sama 12 Geopark dari seluruh dunia manakala penyerahan sijil rasmi secara fizikal berlangsung semalam di lokasi sama.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam jaringan geopark global di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan lapan geopark kebangsaan yang sedang diperkasakan sebagai calon berpotensi ke peringkat antarabangsa.

“Dua geopark itu dibuat atas nilai saintifik dan warisan yang luar biasa, dengan pengiktirafan tersebut menjadikan Malaysia kini mempunyai empat UGGp, selepas Langkawi UGGp dan Kinabalu UGGp,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan mengurus kawasan yang mempunyai nilai warisan geologi kepentingan antarabangsa secara mampan.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan Agenda Pembangunan Negara serta Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDGs) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendukung aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan nilai Kemampanan (pemeliharaan alam sekitar), Kesejahteraan (ekonomi setempat), dan Hormat (warisan budaya).

“Kementerian akan terus komited untuk memperkasakan pembangunan geopark negara dan menggalakkan lebih banyak geopark kebangsaan ke peringkat global demi memartabatkan warisan geologi negara,” katanya.

Lenggong Geopark di Perak merangkumi kawasan seluas 2,248 kilometer persegi terletak antara banjaran Titiwangsa dan Bintang serta merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 yang memaparkan lebih 1.8 juta tahun sejarah manusia melalui penemuan arkeologi. 

Dari sudut geologi, Lenggong Geopark menyimpan bukti aktiviti volkano. Gondwana melalui Tuf Lawin serta batuan Suevit yang terhasil daripada impak meteorit 1.83 juta tahun dahulu. 

Sarawak Delta Geopark pula meliputi kawasan seluas 3,112 kilometer persegi di bahagian barat Sarawak dan menonjolkan kepelbagaian geologi yang kompleks dalam Sistem Orogeni Tethyside. 

Ia merangkumi Zon Sutura Kuching, iaitu zon pertembungan dua blok daratan purba, iaitu Blok Borneo Barat dan Blok Borneo Barat Daya yang berasal daripada super benua purba Gondwana. 

Geopark itu merupakan bukti penting proses putaran lawan jam pulau Borneo serta pembentukan laut purba Proto-South China Sea.- UTUSAN

 

Scroll to Top