Lesen warga emas: Syarat baharu perlu, kurangkan risiko

Lesen warga emas: Syarat baharu perlu, kurangkan risiko

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meletakkan syarat baharu bagi pembaharuan lesen memandu kepada warga emas bermula umur 70 tahun sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Pakar psikologi sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, peringkat umur itu dipilih melihat kepada trend berdasar rekod kesihatan umum.

“Kita belajar perkembangan manusia, pada kebiasaannya apabila sampai umur 65 tahun, keupayaan mereka mula merosot. Manusia ini lama kelamaan akan menurun prestasinya.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini kita menuju ke negara penuaan di mana peratusan orang tua semakin meningkat. Bolehkah kita membenarkan sewenang-wenangnya orang berumur sekitar 70 ke 80 tahun untuk memandu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai sebarang perancangan menetapkan syarat baharu bagi pemandu warga emas khususnya yang berumur 65 tahun ke atas untuk mendapatkan dan memperbaharui lesen kenderaan.

Malah, setakat ini golongan warga emas dibenarkan memandu kenderaan seperti biasa tanpa sebarang kekangan selain wajib mengikuti penilaian kompetensi dan kesihatan.

Mengulas lanjut, kata Rozmi, pelaksanaan syarat baharu itu sepatutnya diimplementasikan sejak awal mengikut kepada negara maju yang lain.

“Kita sepatutnya buat benchmarking. Tengok negara mana yang praktikkan dan kita adaptasi cara itu.

“Bagi saya perkara ini tidak menjadi isu. Ia sama ada kita mahu atau tidak sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, kajian menunjukkan ketahanan kestabilan fizikal dan mental mampu bertahan sehingga umur 65 tahun.

Katanya, bagi golongan berumur melebihi 65 tahun, potensi berdepan masalah kesihatan adalah lebih tinggi.

“Tahap kemampuan dan keupayaan memandu seseorang bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing. Namun disarankan supaya had umur memandu dihadkan maksimum 70 tahun.

“Soal kesukaran seharusnya tidak timbul dan wajib dikuatkuasakan, kerana ia akan mengundang risiko tinggi kepada golongan warga emas untuk memandu dan berada di atas jalan tanpa pemantauan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top