Letak jawatan bukan sebab kecewa tak dicalonkan – Mohamad Taufiq

Letak jawatan bukan sebab kecewa tak dicalonkan – Mohamad Taufiq

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail, menafikan peletakan dua jawatannya dalam parti itu, disebabkan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohamad Taufiq berkata, peletakan kedua-dua jawatan termasuk Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru, tidak ada kena mengena dengan isu pencalonan parti itu yang diumumkan semalam.

“Tidak benar saya letak jawatan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Ia 100 peratus tidak benar.

“Sebenarnya ada isu perlu diselesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan,” katanya tanpa mengulas lanjut isu dimaksudkan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakannya meletak jawatan itu dibuat selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad.

“Saya tidak akan tarik balik keputusan dibuat. Bagaimanapun, saya tidak akan keluar daripada parti dan akan terus setia dengan PKR sebagai ahli biasa,” katanya ketika dihubungi.

Selain Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail malam tadi turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua AMK Johor.

Surat peletakan kedua-dua jawatan itu dimuat naik melalui akaun Facebook malam tadi.

Mohamad Taufiq turut memuat naik status menggambarkan kekecewaannya, namun tidak merujuk kepada mana-mana parti.

“Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua,” katanya menerusi dua muat naik status yang berbeza, dengan foto profil Facebooknya juga ditukar kepada warna hitam.

Dalam pada itu, Mohamad Taufiq berkata, beliau sedang menunggu surat rasmi PKR berhubung peletakan jawatannya itu sebelum membuat kenyataan lanjut.

“Tunggulah sehari dua lagi. Saya akan beri kenyataan penuh berhubung peletakan jawatan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd