Liga Premier: Fakhrul Zaman elak cedera lutut lagi

KUALA LUMPUR – Penyerang Kelantan United FC, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi berharap dirinya tidak lagi dibelenggu kecederaan pada awal musim buat kali kedua sepertimana yang dihadapinya pada musim ini.

Fakhrul memilih untuk kekal bersama Kelantan United pada musim depan dengan misi baharu untuk menjadi peledak utama dalam membantu pasukan meraih pencapaian lebih cemerlang di pentas Liga Premier.

Namun, apa yang menjadi keutamaan adalah untuk memastikan kecederaan lama tidak berulang apabila dia dihimpit kecederaan lutut pada pra musim tahun ini menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan.

Meskipun kecederaan itu tidak serius, tetapi ia sedikit sebanyak menjejaskan momentumnya untuk terus konsisten berada dalam kesebelasan utama pada awal musim.

“Lutut saya ada cedera sikit pada awal musim, tapi tidaklah serius sangat, cuma saya tidak boleh selalu turun bermain, itu yang menjadi masalah.

“Kadang-kadang boleh main, tapi selepas itu kecederaan datang balik dan kena rehat sekali lagi, jadi nak konsisten susah sehinggalah saya betul-betul sembuh pada pertengahan musim.

‘Tetapi, saya bersyukur selepas dapat konsisten beraksi, peluang saya untuk jadi penyerang utama dengan pemain import tetap ada dan saya harap permulaan untuk musim 2022 lebih baik berbanding tahun ini,” katanya.

Fakhrul telah melakukan enam penampilan bersama Kelantan United dalam kesebelasan utama termasuk TM Piala Malaysia dan berjaya meledak tiga gol pada musim ini.

Dalam masa sama, bekas penyerang Kelantan ini tidak menafikan ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super tetapi memilih untuk kekal selepas mengambil kira minit bermain yang ingin diraih bersama Kelantan United.

“Ada juga beberapa kelab Liga Super memberi tawaran, tetapi saya rasa kalau saya berhijrah, mungkin persaingan akan lebih sengit, jadi saya rasa ini adalah keputusan tepat untuk kekal dengan Kelantan United.

“Apatah lagi, musim depan adalah tahun keempat saya dengan pasukan ini dan saya rasa keserasian itu memang sudah ada untuk saya dan pemain lain tidak kira yang baharu atau lama.

“Dengan posisi selaku penyerang, saya kena bekerja lebih keras untuk membantu pasukan dan harap dapat menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim ini”, tambahnya.

Kelantan United telah menamatkan saingan Liga Premier 2021 di tangga ketujuh manakala aksi di pentas TM Piala Malaysia pula berakhir di peringkat kumpulan. – MalaysiaGazette